Assalamua'alaikum dan Salam 1Malaysia,
Artikel dibawah adalah artikel milik JAKIM yang disiarkan di Haiwan Bukanlah Mesin Yang Tiada Perasaan
Haiwan juga ada perasaan. Namun anggapan bahawa haiwan mempunyai perasaan sama seperti manusia adalah kurang tepat.
Itu antara intipati diskusi sembelihan oleh Prof Dr. Zulkifli Idrus dalam membicarakan konsep kebajikan haiwan. Beliau yang merupakan pakar dari Institut Pertanian Tropika UPM menjelaskan secara terperinci keperluan ternakan bukan setakat makan dan minum sahaja, bahkan haiwan yang merupakan makhluk Allah memerlukan persekitaran yang membolehkan mereka hidup sebagai ‘individu’ sihat dari segi fizikal dan psikologi.
Kursus anjuran bersama Bahagian Hab Halal Jakim dan Jawi ini juga merupakan kursus terbesar sembelihan yang pernah dianjurkan dengan penyertaan melibatkan 100 pegawai Jakim. Peserta diberi kesempatan merasai sendiri praktikal sembelihan ayam. Rata-rata peserta yang belum ada pengalaman sembelih binatang agak merasa kurang selesa. Namun setelah sembelihan pertama kelihatan mereka teruja untuk melakukan yang kedua kalinya, terutama peserta wanita yang begitu bersemangat.
Antara tujuan utama sembelihan haiwan ialah untuk menghasilkan daging yang halal, selamat, bersih dan berkualiti. Ia juga berkaitan dengan keadaan fisiologi haiwan sebelum disembelih yang memberi kesan besar ke atas daging yang dihasilkan bemula kebajikan di ladang, semasa pengangkutan dan ketika berada di rumah sembelihan. Akibat dari kebajikan haiwan yang terjejas akan menyebabkan kualiti karkas/ daging rendah.
Bertempat di Masjid Abdullah bin Zaid yang terletak di Wangsa Maju, KL dipilih kerana kemudahan yang disediakan adalah mesra sembelihan. Pihak Jawi juga seperti yang dimaklumkan oleh KPP Penyelidikan, akan mengeluarkan Kad Tauliah Sembelihan kepada peserta yang terlibat. Kursus yang diadakanpada 18 April 2013 ini dirakam penuh oleh pihak Media Jakim yang akan disiarkan secara bersiri melalui program TV1 menerusi Persada Jurnal.